Berita: GENERASI Y

Hala tuju graduan selepas menamatkan pengajian di institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) awam mahupun swasta sering menjadi perbualan hangat dan tanda tanya di kalangan masyarakat Malaysia. Tahun ini (2008), Kementerian Pengajian Tinggi telah berjaya melancarkan Kajian Pengesanan Graduan (Susulan) bagi menjejaki para graduan yang telah menamatkan pengajian mereka lebih dari 6 (enam) bulan di IPT masing-masing. Sejajar dengan inisiatif itu, Prof. Dr. Md Yusof bin Abu Bakar (Ketua Projek/Penasihat Menteri Pengajian Tinggi) dan Encik Izmir Fahmi bin Mustaza (Penganalisa Sistem) telah dijemput sebagai panel bagi program Generasi Y.

Pada 26 Oktober 2008, program ini telah menjemput dua orang panel iaitu Encik Izmir selaku wakil dari Kementerian Pengajian Tinggi dan Encik Rahmat bin Ismail (Pengarah Bahagian Pekerjaan) wakil dari Kementerian Sumber Manusia. Kemudian pada 16 November 2008, RTM telah menjemput Prof. Dr. Md Yusof bin Abu Bakar dan Encik Rahmat bin Ismail sebagai panel jemputan bagi membincangkan topik mengenai pasca graduan dan peranan Kajian Pengesanan Graduan dalam menjejaki hala tuju graduan selepas tamat pengajian. Rancangan yang dihoskan oleh Awal Ashari itu telah mendapat banyak reaksi daripada para graduan yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Kajian Pengesanan Graduan (Susulan) dan pelbagai pengalaman yang berharga juga dapat dikongsi bersama menerusi program yang berlangsung selama satu jam di Kementerian Belia dan Sukan.