Latar belakang Kajian Pengesanan Graduan KPT
Kajian Pengesanan Graduan telah pertama kali dilancarkan pada tahun 2002 di mana Unit Perancangan Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri telah mengambil inisiatif dengan memberi geran pelancaran bagi menyelaras kajian IPTA dan Politeknik dengan menggunakan instrumen yang seragam. Seterusnya, kajian ini diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sehingga tahun 2004 dan selepas itu oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Pada tahun 2006, KPT telah berjaya membuat penambahbaikan dan memulakan pendekatan baru iaitu dengan menjalankan Kajian Pengesanan Graduan (SKPG 1) secara atas talian. Kajian ini dijalankan terhadap graduan baru bersempena dengan Majlis Konvokesyen di IPT masing-masing. Pada tahun ini (2011), KPT sedang menjalankan kajian susulan bagi melihat status graduan yang telah tamat pengajian lebih daripada 6 bulan.
Kajian Pengesanan Graduan Susulan (SKPGII) Fasa 1 pada tahun 2008 / Fasa 2 akan berlangsung Ogos 2011
Kajian Pengesanan Graduan Susulan (SKPGII) merupakan satu sistem atas talian yang dibangunkan oleh KPT sebagai pelengkap kepada SKPG 1, yang juga dijalankan secara atas talian. Dengan adanya usaha ini, diharap pihak negara akan mendapat gambaran sebenar berkaitan dengan dunia pekerjaan graduan seperti tahap kebolehdapatan kerja, kebolehpasaran graduan, job trend dan job mobility. Maklumat-maklumat ini akan dapat membantu Kerajaan dan IPT menggubal polisi dan merancang program-program yang lebih bertepatan dalam membangunkan modal insan negara. Di samping itu, para pelajar IPT dan para graduan dapat membangunkan kerjaya masing-masing berasaskan fakta-fakta sebenar. |